NASIONAL

Saman SKMM, Nuemera, didakwa gagal jamin keselamatan maklumat peribadi pengguna

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 FEB: Saman sivil terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Nuemera (M) Sdn Bhd, berkait satu insiden kebocoran 46.2 juta maklumat peribadi pengguna perkhidmatan telekomunikasi di Malaysia dibuat oleh Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil.

Beliau berkata saman sivil itu difailkan atas dasar bahawa mereka yang gagal menjamin keselamatan maklumat peribadi rakyat Malaysia.

“Semalam, Selasa 6 Februari, saya mengarahkan peguam saya untuk memfailkan terbabit. Sebagai salah seorang pengguna perkhidmatan telekomunikasi yang terkesand an memandangkan isu ini bersifat berkepentingan awam (“public interest”),

“Dalam era teknologi maklumat ketika ini, keselamatan maklumat peribadi menjadi asas pelbagai interaksi dan transaksi harian kita.

“Umum perlu percaya dan yakin bahawa institusi dan pihak yang diamanahkan menjaga maklumat peribadi kita bertanggungjawab ke atas amanah itu,” katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Fahmi berkata semestinya kejadian kebocoran 46.2 juta maklumat peribadi yang berlaku pada 2014 itu menimbulkan pelbagai tanda tanya.

“Sebagai contoh, mengapa pihak berkuasa khususnya SKMM yang bertanggungjawab dalam hal ini, serta syarikat Nuemera yang menerima kontrak kerajaan dan diamanahkan mengendali sistem penyahaktifan telefon bimbit PCBS, tidak memaklumkan orang ramai terutama pengguna yang terkesan tentang kejadian ini?

“Hingga ke hari ini, kita tidak diberi penjelasan sebenar bagaimana kecurian ini berlaku,” katanya.

Beliau berkata lebih teruk, rakyat hanya mengetahui berkenaan kejadian itu selepas tiga tahun, malah hingga kini belum ada sebarang tangkapan atau pendakwaan dilakukan.

“Dalam demokrasi matang, apabila skandal sebesar ini berlaku, sudah pasti ada pihak yang mengambil tanggungjawab dan meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat besar ini.

“Malah jika didapati sesebuah syarikat gagal menjamin keselamatan maklumat peribadi, mungkin kontrak syarikat tersebut akan dibatalkan,” katanya.

Beliau berharap melalui tindakan saman sivil itu, pelbagai persoalan akan dapat dijawab dan langkah memperbaiki keadaan demi keadilan buat semua rakyat Malaysia.

=EZY=


Pengarang :