SELANGOR

ADN dedah fakta sebenar Selangor, tepis penipuan Najib

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 MAC: Pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berbohong dan cuba memutarbelitkan fakta membabitkan beberapa isu yang berlaku di Selangor.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Selangor (BBC), Ng Suee Lim berkata, penipuan Najib tidak akan mempengaruhi sokongan masyarakat Selangor terhadap pentadbiran negeri kini.

“Ini lumrah biasa menjelang PRU, bertubi-tubi media arus perdana dan Najib akan menyerang Kerajaan Selangor habis-habisan.

“Tetapi rakyat sudah matang, dan rakyat tahu apa yang berlaku sebenarnya di Selangor. Banyak isu yang berlaku kini sengaja diperbesarkan media Umno,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau diminta mengulas laporan muka hadapan media kawalan Umno, Berita Harian yang mendedahkan kononnya pentadbiran Kerajaan kini gagal menangani beberapa perkara besar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan itu berkata, Kerajaan Negeri komited melaksanakan kebajikan rakyat tanpa bermain retorik politik pilihanraya.

Katanya, pelbagai dasar terus diwujudkan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali untuk terus mengangkat martabat kebajikan rakyat seluruh negeri.

“Banyak perkara yang sudah diselesaikan termasuklah isu air, walaupun ada insiden tetapi atas komitmen dan tanggungjawab, proses pembaikan tetap diteruskan.

“Kerajaan Selangor terus mencari pelan pemulihan. Begitu juga isu pengurusan sampah yang dapat dilihat semakin berkesan hasil penurunan aduan daripada rakyat.

“Ini bukan auta, tetapi inilah fakta sebenar yang berlaku di Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :