Stadium Shah Alam yang menjadi ikon Selangor perlu menjalani proses baik pulih secara menyeluruh. Foto ARKIB SELANGORKINI
PBTSELANGORSUKANKINI

Pembetulan laporan SelangorKini “Stadium Shah Alam bukan milik swasta”

RALAT: SelangorKini dengan rendah hati ingin membetulkan laporan berita bertajuk “Stadium Shah Alam bukan milik swasta” yang diterbitkan menerusi portal dan muka belakang ruangan sukan bagi edisi 7-13 Mac 2018.

Pihak kami menerima maklum Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad, bahawa terdapat kekeliruan berhubung berita yang dipetik daripada sebuah akhbar tempatan, baru-baru ini.

Katanya, penafian dimaksudkan MBSA ketika itu adalah berhubung mesej tular kononnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu terpaksa melepaskan tanggungjawab mengurus stadium berkenaan atas sebab kewangan.

“Berita yang tular itu tidak benar kerana MBSA sentiasa mengikut arahan Kerajaan Negeri sama ada untuk mengurus atau melepaskan, kita tidak mempunyai sebarang masalah.

“Namun, penafian dibuat langsung tidak merujuk kepada penyerahan kepada pihak swasta kerana memang benar kita sudah serahkan kepada Kerajaan Negeri yang memutuskan untuk menyerahkan pengurusan stadium kepada pihak berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Sehubungan itu, SelangorKini sekali memohon maaf kepada MBSA dan pembaca yang mungkin terkesan dengan laporan sebelum ini.

Terdahulu, Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari turut mengesahkan pengurusan Stadium Shah Alam bukan lagi di bawah MBSA tetapi diserahkan kepada anak syarikat Kerajaan Negeri, bermula awal tahun ini.

Katanya, pengumuman rasmi akan dibuat selepas proses pengambilalihan oleh Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) Sdn Bhd selesai sepenuhnya.


Pengarang :