NASIONAL

Akta Berita Palsu dibimbangi sekat kebebasan bersuara rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 MAC: Akta Berita Palsu dibimbangi berisiko tinggi untuk disalahgunakan dengan mentakrifkan sebarang berita menyerang Kerajaan Barisan Nasional (JDT) sebagai berita palsu.

Ketua Srikandi KEADILAN Selangor, Nurainie Haziqah Shafii, berkata akta itu dianggap sebagai satu lagi usaha Kerajaan BN menyekat kebebasan bersuara rakyat khususnya golongan penyokong pembangkang.

“Undang-undang ini sememangnya jelas menunjukkan kerajaan sedia ada sekarang dalam keadaan terlampau terdesak untuk menutup mulut atau mendiamkan sesiapa sahaja yang cuba untuk membawa fakta-fakta kebenaran dan memberi pendapat.

“Bayangkan jika ada mana-mana rakyat atau ahli pembangkang yang cuba membawa fakta kebenaran tentang penyelewengan dalam kerajaan, mereka boleh didakwa dan didenda sehingga maksimum RM500,000 atau penjara 10 tahun,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau yang juga merupakan seorang peguam menjelaskan, jika perkara ini berlaku menunjukkan undang-undang ini digubal dengan berniat jahat, tidak adil dan drakonian.

Katanya, langkah ini sebenarnya lebih bertujuan menghukum rakyat yang berkongsi pendapat berlainan.

“Sebenarnya akta ini bukanlah akta untuk menghalang fitnah kerana kita sudah ada Defamation Act atau akta fitnah.

“Ini adalah akta anti berita palsu yang mana definisinya tidak jelas dan tidak adil dan lebih penting menyekat kebebasan bersuara,” katanya.

=EZY=


Pengarang :