SELANGOR

ECRL: Kementerian Pengangkutan tidak kemuka sebarang permohonan kepada Kerajaan Negeri

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri menafikan pihaknya enggan memberikan kerjasama atau maklum balas berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) kerana Kementerian Pengangkutan sendiri tidak mengemukakan sebarang permohonan setakat ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian IKS serta Perdagangan dan Pengangkutan, Datuk Teng Chang Kim dalam jawapan sesi penggulungan sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) semalam, menyanggah kenyataan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini yang dilaporkan memohon Kerajaan Negeri mempercepatkan proses pengambilan tanah seperti di negeri lain.

“Sebenarnya tidak ada permohonan daripada pihak berkenaan sama ada Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) atau Kerajaan Persekutuan walaupun ada pertemuan dilakukan. Tidak ada permohonan.

“Sekiranya tidak ada permohonan, maka adalah tidak betul bahawa Kerajaan Negeri tidak mengambil apa-apa tindakan untuk memproses tindakan tersebut. Saya ingin menyangkal kenyataan daripada Menteri Pengangkutan (Liow Tiong Lai),” katanya, semalam.

Beliau berkata, di peringkat Kerajaan Selangor, tiada sebarang kelulusan dimuktamadkan kerana tiada permohonan dikemukakan tetapi Projek ECRL perlu mematuhi syarat dan keperluan ditetapkan dalam menyiapkan projek ini.

“Di peringkat Kerajaan Selangor, tiada sebarang kelulusan dimuktamadkan bagi pembangunan projek laluan ECRL bagi jajaran ECRL Fasa 1 iaitu dari Kota Bharu ke ITT Gombak mahupun Fasa 2 iaitu dari ITT Gombak ke Pelabuhan Klang sejauh 60km.

“Ini selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh Kerajaan Selangor bahawa projek pembangunan infrastruktur seperti lebuhraya, LRT, MRT, Rel Berkelajuan Tinggi (HSR), Talian Voltan Tinggi, Janakuasa dan lain-lain projek berskala besar serta melibatkan implikasi kepada alam sekitar serta penduduk perlu melalui proses rundingan dengan Kerajaan Selangor di bawah Jawatankuasa Perancang Negeri,” katanya.

Tiong Lai dalam kenyataan dilaporkan media berkata, projek ECRL dibimbangi akan terjejas jika Kerajaan Selangor tidak memberi kerjasama baik dalam soal menyelesaikan proses pengambilan tanah di negeri itu dan boleh menyebabkan projek pembinaan laluan rel itu lewat siap berbanding jadual asal pada 2024.

=EZY=


Pengarang :