BERITA UTAMANASIONAL

Keputusan embargo laporan SPR khianat demokrasi berparlimen

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 MAC: Keputusan Speaker Dewan Rakyat untuk embargo Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula di Semenanjung Malaysia adalah pengkhianat kepada sistem demokrasi berparlimen, sekali gus terhadap 25 juta rakyat Malaysia.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, keputusan terbabit juga wajar mendapat kutukan daripada setiap pelusuh tanah air.

Katanya, Speaker Dewan Rakyat tiada alasan munasabah menahan laporan akhir itu untuk tatapan awam ekoran ia mempunyai kesan terhadap hak demokrasi rakyat untuk memilih wakil mereka ke Parlimen.

“Cadangan SPR sudah dipaparkan secara umum dalam beberapa versi, sejak 18 bulan lalu. Tindakan Speaker itu jelas menunjukkan beliau bersikap tidak adil.

“Selaku Ahli Parlimen, pengundi saya dan semua pengundi di Malaysia mempunyai hak untuk mengetahui jika daerah mengundi sudah bertukar kerana ia akan mendatangkan kesan kepada identiti dan hala tuju politik,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin menyifatkan perkara berkenaan adalah pencabulan hak mereka yang dijamin perlembagaan.

Katanya, cadangan yang dikemukakan SPR secara agresif mencorakkan karakter kaum dan etnik terhadap daerah mengundi.

“Perkara ini secara langsung menjejaskan keharmonian antara kaum yang menjadi sebahagian daripada identiti Malaysia.

“SPR tidak seharusnya menjadi alat politik, apalagi politik berasaskan kaum kerana mereka sudah berikrar untuk menjunjung Malaysia yang demokratik dan harmoni,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, perkara terbabit adalah kegagalan SPR yang dicuba dicabar Kerajaan Negeri Selangor di mahkamah.

“Malah, kita masih mencabar SPR di mahkamah sehingga hari ini. Insya Allah, kebenaran bersama kita,” katanya.

 


Pengarang :