PBTSELANGOR

Lebih 3,000 meriahkan Program 60+ Earth Hour Shah Alam 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Lebih 3,000 pengunjung memeriahkan Program 60+ Earth Hour Shah Alam 2018 anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertempat di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, di sini pada 24 Mac lalu.

Ketua Bahagian Korporat & Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, Program 60+ Earth Hour merupakan kempen dilaksanakan menyeluruh bertujuan memberi kesedaran mengenai isu pemanasan global.

“Ia juga merupakan simbolik sokongan terhadap usaha World Wide Fund for Nature (WWF) Malaysia untuk menyelamatkan bumi daripada pencemaran alam sekitar.

“Program ini merupakan komitmen berterusan MBSA mendidik komuniti Shah Alam bersama berganding bahu dan mengamalkan sikap bertanggungjawab di dalam memulihara keseimbangan alam sekitar,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, program bermula jam 6 petang itu menampilkan pelbagai aktiviti dan antara acara utama adalah Acara Berbasikal Kayuhan Malam MBSA.

Beliau berkata, majlis perasmian disempurnakan oleh Dato Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad.

Sementara itu, katanya, antara acara sampingan lain turut diadakan adalah pertandingan mewarna sempena Program 60+ Earth Hour Shah Alam 2018.

“Pertandingan ini berjaya menarik penyertaan 200 peserta dalam kalangan kanak-kanak membabitkan tiga kategori pertandingan mewarna iaitu kategori A (4-6 tahun), kategori B (7-10 tahun) dan kategori C (11 dan 12 tahun),” katanya.

Selain itu, turut diadakan Pameran Inisiatif Hijau MBSA, Chu-Chu Train, Food Truck dan Pameran WWF Malaysia.

Malah, orang ramai juga berpeluang untuk mendapatkan perkhidmatan Beca Bercahaya secara percuma disediakan MBSA.

=EZY=


Pengarang :