BERITA UTAMASELANGOR

MB: Prinsip integriti, bebas rasuah jana kemakmuran ekonomi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 22 MAC: Kemajuan Selangor didorong komitmen berterusan Kerajaan Negeri dengan prinsip integriti dan bebas rasuah bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri secara efektif, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, realiti itu sekali gus menafikan kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang menganggap kemajuan negeri berpunca daripada tatakelola pentadbiran Selangor di bawah Umno Barisan Nasional, sebelum 2008.

“Memang ada pembangunan yang dibuat oleh kerajaan sebelumnya, tetapi tidak semestinya pembangunan itu boleh dikekalkan sekiranya kerajaan kini tidak bertanggungjawab.

“Justeru, jangan melihat apa yang berlaku sebelum ini menjadi permulaan kepada apa yang berlaku sekarang,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Anugerah Cemerlang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), di Hotel Flamingo, malam tadi.

Mohamed Azmin diminta mengulas kenyataan Zahid yang mengaitkan kejayaan pertumbuhan ekonomi Selangor diraih hasil daripada usaha pentadbiran Umno Barisan Nasional.

Memetik Astro Awani, beliau dilapor berkata, kejayaan itu juga merupakan kesinambungan pimpinan negeri yang diterajui parti ketuanan Melayu itu.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, hakikat sebenar pentadbiran Barisan Nasional kini gagal membawa perubahan besar kepada aspek kebajikan dan kelangsungan ekonomi rakyat.

Katanya, ia dibuktikan menerusi langkah agresif Kerajaan Persekutuan yang melaksanakan kadar pencukaian tinggi dan membebankan rakyat kebiasaan.

“Keadaan sebaliknya berlaku ketika Tun Mahathir, menjadi Perdana Menteri, Malaysia maju dari pelbagai aspek pertanian dan perindustrian.

“‘Kita tidak perlu ada GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) tapi negara ini tetap maju, tetapi sebaliknya berlaku sekarang.

“Keutamaannya kerajaan yang diberikan mandat oleh rakyat itu harus bertanggungjawab secara baik dan berintegriti mentadbir kemajuan negeri,” katanya.

=EZY=


Pengarang :