PBTSELANGOR

MPAJ optimis kekal prestasi cemerlang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

AMPANG, 22 MAC: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) optimis mengekalkan prestasi cemerlang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu untuk terus mendukung aspirasi pembangunan komuniti di peringkat Kerajaan Selangor.

Yang Dipertuanya, Abdul Hamid Hussain berkata, MPAJ kekal relevan dalam menyumbang bakti secara efektif kepada komuniti dengan melaksanakan prinsip ketelusan dan kesaksamaan dalam pengurusannya.

“Oleh itu, setiap keputusan diambil MPAJ adalah seiring dengan saranan Kerajaan Negeri.

“Jadi tuntutan pembudayaan etika dan integriti adalah penting untuk diterjemahkan oleh warga MPAJ bagi mencapai matlamat itu.

“MPAJ amat menitikberatkan kepada nilai-nilai murni dan sentiasa bertindak jujur, amanah, responsif terhadap isu-isu berkaitan tugas.

“Selain itu, terus kekal dengan melaksanakan tangunggjawab masing-masing, berhemah dalam pengurusan kewangan dan berpegang kepada akauntabiliti atas sesuatu tindakan yang dilaksakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MPAJ 2017 di Hotel Flamingo, Ampang malam tadi.

Terdahulu, seramai 65 warga kerja MPAJ diraikan pada Malam Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pihak berkuasa tempatan itu.

Selain itu, 59 warga kerja MPAJ terdiri daripada kakitangan awam yang berkhidmat sejak 1992 turut diberikan penghargaan.

Majlis turut menyaksikan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron menyampaikan anugerah kepada penerima.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, (Pengurusan), Dato’ Mazalan Md Noor dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Ahmad Suaidi Abdul Rahim.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri yang juga Ahli Dewan Negeri Chempaka, Dato’ Iskandar Abdul Samad.

=EZY=


Pengarang :