SELANGOR

MPK terima RM6 juta, naik taraf destinasi tarik pelancong

OLEH: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 16 MAC: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM6 juta kepada Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi menaik taraf destinasi dan pusat pelancongan di bandar diraja itu.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, peruntukan itu disalurkan setelah melihat keberkesanan Tahun Melawat Klang tahun lalu dalam usaha MPK menjadikan Klang antara destinasi pelancongan utama di Selangor.

“Peruntukkan ini akan digunakan untuk menaik taraf beberapa tapak warisan dan kawasan seperti taman rakyat serta taman awam yang dilihat berpotensi boleh menarik pelancong.

“Selain itu, kita juga melihat bandar ini mempunyai banyak monumen sejarah yang perlukan dipulihara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis Anugerah MPK Care 2018 di Pusat Konvensyen Shah Alam, semalam.

Pada masa sama, Elizabeth berkata, tahun ini juga, Tourism Selangor dan MPK akan berkolaborasi merangka beberapa program yang boleh menarik pelancong melalui kapal cruise di Pulau Indah.

“Kita jangka lebih ramai pelancong melawat daerah ini melalui kapal cruise.

“Oleh itu, Tourism Selangor dan MPK memainkan peranan yang besar dalam usaha menaikkan lagi bandar raya ini,” katanya.


Pengarang :