NASIONAL

Pengundi pos dipindah sewenangnya, Bersih 2.0 kecewa keputusan mahkamah

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 MAC: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (2.0) kecewa dengan keputusan mahkamah menolak bantahan pengundi terhadap pemindahan anggota tentera ke sebuah kem yang belum siap dibina.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata keputusan itu memberi implikasi SPR dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh memindahkan pengundi pos di kalangan anggota tentera ke mana sahaja pada bila-bila masa tanpa perlu memberi justifikasi yang munasabah.

“Semalam kita kalah satu kes di Segamat di mana pemindahan anggota tentera ke kem yang belum di bina dan kes difailkan tetapi ditolak mahkamah.

“Maknanya SPR boleh pindahkan anggota tentera ke mana-mana kem yang mereka suka dan tidak perlu beri apa-apa sebab mereka dipindahkan ke kem itu walaupun kem itu tak wujud. Ini yang sangat mengecewakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Bersih 2.0 di pejabatnya di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau turut kecewa terhadap keputusan mahkamah yang membenarkan SPR mengekalkan nama pemilih tanpa alamat kekal dalam daftar pemilih SPR di Selangor.

Katanya, tambah mendukacitakan, apabila mahkamah menolak petisyen bantahan berhubung kes kesalahan teknikal yang serius apabila Pegawai SPR bertindak tidak memberi Borang 14 kepada Agen Pengundian, Agen Pengiraan (PACA) kepada salah satu parti bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Selepas pilihan raya kita telah kenal pasti apabila terdapat satu kes yang sepatutnya kita boleh menang melibatkan kesalahan teknikal di mana Pegawai SPR tidak beri borang 14 kepada PACA yang berada di pusat pengundian. Kalau borang tidak diberi bagaimana kita nak menang,” katanya.

=EZY=


Pengarang :