PELANCONGANSELANGOR

Selangor tawar tarikan menarik di MATTA Fair KL 2018

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 14 MAC: Kempen Discover Selangor oleh Tourism Selangor kini diteruskan lagi ke Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) selama tiga hari bermula 16 Mac ini.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, kempen itu bertujuan meningkatkan kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa secara keseluruhan dengan memperkenalkan produk serta tempat penginapan menarik di Selangor.

“Kami akan terus berusaha memberi tumpuan untuk mempromosikan produk Tourism Selangor untuk pasaran domestik sejajar dengan kempen ‘Discover Selangor’ dan #TakeMeAnywhere’.

“Terdapat beberapa destinasi pelancongan menarik di negeri ini yang berpotensi besar untuk dimasukkan dalam lawatan pakej.

“Tourism Selangor Pavillion edisi Mac MATTA Fair, Kuala Lumpur tahun ini memaparkan tarikan pelancong di Selangor seperti RHR Hotel, Golf & Island Resort Amverton Cove, Kidzania, Wet World Shah Alam, Sky Mirror Tours & Travel, Farm In The City, Skytrex, Jump Street, District 21 dan MinNature Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Noorul Ashikin berkata, kepada mereka yang inginkan suasana hotel mewah dengan harga yang berpatutan, Tourism Selangor memperkenalkan RHR Hotel yang pastinya membuatkan mereka menginap di situ berasa terpesona dan selesa.

“Dengan pemandangan tepi tasik dan landskap yang indah, RHR Hotel adalah destinasi terbaik untuk anda yang mahukan suasana kedamaian.

“Nikmati promosi RM428 dengan pakej Family Petting Zoo untuk dua dewasa dan dua kanak-kanak termasuk sarapan pagi selama tiga hari dua malam,” katanya.

Selain itu, Noorul Ashikin berkata, di MATTA Fair nanti turut ditawarkan pakej menarik kepada mereka yang mahu merakam detik indah perkahwinan, Rumah Rehat Seri Berkat (RRSB) menawarkan pakej ‘Pre & Post Wedding Photoshoot’.

Noorul Ashikin berkata, sebagai agensi bertanggungjawab, Tourism Selangor dan Kerajaan Negeri menyokong usaha pemain industri tempatan untuk membangunkan produk menarik di negeri itu.

“Ia merupakan satu peluang yang baik untuk mempamerkan daya tarikan terbaik Selangor pada masa ini, kerana kebanyakan pelawat akan merancang lawatan keluarga untuk cuti sekolah pada akhir tahun,” katanya.

Pakej percutian itu menawarkan kadar diskaun ketika musim cuti persekolahan sehingga 50 peratus.

MATTA Fair KL 2018, Edisi Mac menjangkakan 110,000 pengunjung untuk pameran tiga hari sehingga 18 Mac ini.

=EZY=


Pengarang :