EKONOMISELANGOR

SIBS2018: Industri makanan dan minuman jadi tumpuan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Industri makanan dan minuman (F&B) akan menjadi tumpuan bagi persidangan Selangor International Business Summit 2018 yang bakal diadakan pada 6 hingga 16 September depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, ia merangkumi teknologi makanan, perkhidmatan makanan, sains makanan dan segmen halal.

Katanya, sektor makanan dan minuman dipilih tahun ini kerana industri itu menyumbang kepada kekuatan negeri juga negara.

“Mulai tahun ini, kita akan memfokuskan sektor-sektor setiap tahun. Pada tahun ini, kita memfokuskan F&B.

“Ini kerana produk Malaysia yang paling laris di China adalah dari F&B. Oleh itu, ia menjadi keutamaan pada persidangan kali ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Selangor International Business Summit 2018, di MiTEC.

Hasan berkata F&B adalah salah satu tiang pelaburan diSelangor, bersama-sama dengan sains hayat, jentera dan peralatan, sektor elektrik dan elektronik dan peralatan pengangkutan.

SIBS 2018 akan menampilkan program perniagaan membabitkan kerjasama 20 organisasi perniagaan dan pemain industri.

Selangor, yang digelar sebagai negeri emas Malaysia, kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negara pada tahun 2016, dengan bahagian 22.7 peratus, Kuala Lumpur (15.3 peratus), Sarawak (9.8 peratus), Johor (9.4 peratus), Pulau Pinang (6.7 peratus) dan Sabah (6.7 peratus).

Selangor International Business Summit (SIBS) 2018 yang bakal diadakan, pada 6 hingga 16 September ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur.

SIBS 2018 dijangka mencatatkan urus niaga bernilai RM250 juta, kira-kira 20 peratus lebih banyak daripada jumlah dicapai tahun lalu.

Sidang kemuncak akan datang itu dijangka menempatkan 1,000 gerai dan menampung antara 23,000 hingga 25,000 pelawat, peningkatan dari 691 gerai dan 22,071 pengunjung.

=EZY=

 


Pengarang :