Selangorkini
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan berkenan sampaikan gelaran

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 17 MAC: Yang Dimuliakan (YDM) Tengku Musahiddin Shah Tengku Abdul Samad Shah AlHaj, 34, mendahului pemasyhuran gelaran dan mengangkat sumpah ‘Tengku Seri Perkasa Diraja’.

Istiadat Pemasyhuran Gelaran dan Mengangkat Sumpah serta Menjunjung Duli bagi Orang-Orang Besar Istana Orang Besar Daerah dan Dato’-Dato’ Diraja Selangor diadakan dihadapan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Alhaj.

Istiadat berlangsung di Balairung Seri, Istana Alam Shah, di sini, pagi tadi.

Tengku Musahidin Shah merupakan anakanda kepada Yang Amat Mulia, Tengku Panglima Besar Selangor, Tengku Abdul Samad Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, adinda kepada DYMM Sultan Selangor.

Beliau kini menyandang jawatan sebagai salah seorang Pengarah di Syarikat Ropequest Sendirian Berhad dan mempunyai Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa (Perhubungan Awam) daripada Murdoch Universiti, Perth, Australia.

Pada istiadat yang sama, turut dikurniakan pangkat gelaran Orang Besar Istana, Yang Mulia Syed Haizam Hishamuddin Putra Jamalullail Alhaj, 34 yang membawa gelaran ‘Engku Panglima Setia Diraja.

Ayahanda beliau, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Panglima Perlis, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, adinda kepada DYMM Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail.

Beliau kini menyandang jawatan sebagai Pengetua Pengasas Tuas Capital Partners, Pemegang Amanah Yayasan Raja Muda Selangor dan Selangor Youth Community (SAY).

Yang Mulia Syed Haizam juga mempunyai Ijazah Sarjana dalam Sains Manusia daripada Somerville College, University of Oxford.

DYMM Sultan Selangor turut berkenaan mengurniakan gelaran kepada Orang Besar Daerah Petaling, Dato’ Emran Kadir,69.

Beliau dikurniakan gelaran ‘Dato’ Orang Jaya Maha Bijaya Petaling’ pada 1 Oktober 2010 dan mula berkhidmat dengan kerajaan bermula pada tahun 1972 sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik.

Manakala, Dato’ Diraja Selangor, Dato’ Mohd Effendi Abdullah, 56 dikurniakan pangkat gelaran Dato’ Kurnia Bakti Diraja.

Sementara itu, Dato’ Diraja Selangor, Dato’ George Stewart LaBrooy dikurniakan pangkat gelaran, Dato’ Setia Pekerti Diraja.

=EZY=

 


Pengarang :