NASIONAL

Tun M: Malaysia lebih malu kleptokrat Najib kekal teraju negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 29 MAC: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membidas seteru politiknya, Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa adalah memalukan sekiranya negara ditadbir Perdana Menteri, berumur 90 tahun lebih.

Tun Mahathir berkata, Najib seharusnya lebih malu apabila seantero dunia kini lebih mengenali Malaysia yang kini ditadbir Perdana Menteri, kleptokrat dan perasuah.

“Negara malu Malaysia diklasifikasi sebagai negara rasuah dan kleptokrasi. Demikianlah rakyat berasa malu sehingga tidak mengakui rakyat Malaysia apabila ditanya di luar negara.

“Rakyat Malaysia malu tetapi Perdana Menteri mereka tidak malu. Kononnya mempunyai Perdana Menteri, berumur lebih dari 90 tahun memalukan Najib.

“Sesungguhnya amat pelik Perdana Menteri Malaysia ini. Apalah nasib rakyat Malaysia mendapat Perdana Menteri yang dipandang hina oleh dunia dan tak tahu malu. Rakyat malu,” tulis Pengerusi Pakatan Harapan itu di blog chedet.cc.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Najib mengeluarkan kenyataan kononnya individu berusia lebih 90 tahun bukanlah calon sesuai untuk terus menerajui kepimpinan negara.

Malah sebelum ini, Menteri Umno, Datuk Seri Ismail Sabri yang turut mengulas isu sama mendedahkan, Tun Mahahthir tidak mempunyai kredibiliti untuk mengurus negara.

Namun, Pakatan sebelum ini optimis Tun Mahathir sebagai individu berkelayakan memandangkan pengalaman negarawan itu menerajui kepimpinan negara selama, 22 tahun.

=EZY=


Pengarang :