Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari beramah mesra bersama orang ramai selepas penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MB luang masa bersama penyokong Kerajaan Perpaduan

HULU SELANGOR, 27 APRIL: Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor meluangkan masa bertemu penyokong selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Dato’ Seri Amirudin Shari yang juga Dato’ Menteri Besar diiringi Penolong Setiausaha DAP Jamaliah Jamaluddin berjalan lebih 100 meter bertemu penyokong Kerajaan Perpaduan.

Beliau juga sempat berswafoto dan beramah mesra dengan penyokong meskipun cuaca panas.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon Kerajaan Perpaduan, Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada hari penamaan calon PRK DUN Kuala Kubu Baharu di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor, Kuala Kubu Bharu pada 27 April 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Pang Sock Tao yang mewakili Kerajaan Perpaduan dicabar calon PN Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainudin dari PRM serta calon bebas, Nyau Ke Xin.

Pengumuman empat calon itu dilakukan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Kuala Kubu Baharu, Yuhanas Auree Kamarudin di perkarangan Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor di sini, hari ini.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK KKB adalah 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

PRK KKB diadakan susulan kematian Lee Kee Hiong akibat barah pada 21 Mac lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan PRK DUN berkenaan pada 11 Mei ini, hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei dengan tempoh berkempen 14 hari.


Pengarang :