NASIONAL

Hantar pulang pelarian Palestin ke tanah air mereka

SHAH ALAM, 1 APR: Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menggesa penyokong dan sahabat rakyat Palestin, di Malaysia serta seluruh dunia memainkan peranan intrinsik mencari jalan supaya pelarian Palestin dapat dihantar pulang ke tanah air mereka.

PCOM dalam kenyataan turut menggesa lebih banyak usaha dijalankan untuk mengakhiri tragedi, di Semenanjung Gaza, termasuk menyokong Perarakan Pulang Besar-besaran yang masih berjalan.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya jenayah dilakukan Israel terhadap warga Palestin. PCOM bimbang dengan keselamatan warga Palestin yang disasarkan secara intensif oleh tentera Israel semalam, terutama di Gaza yang mengalami sekatan selama 11 tahun,” katanya.

Kelmarin, puluhan ribu warga Palestin menyertai Perarakan Pulang Besar-besaran yang berlangsung, di Semenanjung Gaza dan tempat lain, di Palestin bagi menunjukkan keazaman dan hak mereka kembali ke kampung halaman selepas dihalau keluar tentera Israel, pada 1948.

Bantahan secara aman oleh rakyat Palestin yang tidak bersenjata itu mendapat tentangan ganas pasukan keselamatan Israel yang menggunakan peluru hidup, gas pemedih mata, peluru bersalut getah yang mengorbankan sekurang-kurangnya 15 warga Palestin dan 1,400 cedera, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Menurut kenyataan itu, penganjur Perarakan Pulang Besar-besaran mahu membawa ratusan ribu pelarian Palestin dari khemah pelarian mereka, di seluruh rantau itu menyertai satu tunjuk perasaan besar-besaran di sempadan Israel, dengan rancangan seterusnya berarak ke kampung halaman mereka.

*Sumber: BERNAMA


Pengarang :