BERITA UTAMASELANGOR

Kekalkan Selangor, martabat rakyat terus diangkat

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 14 APR: Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk terus mengangkat martabat rakyat Selangor menerusi pelbagai insiatif yang dilaksanakan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana pimpinan Kerajaan Negeri tidak hanya turun padang menjelang tarikh keramat 9 Mei, depan.

Sebaliknya, katanya, program turun padang dilaksanakan setiap minggu sejak Pakatan memerintah Selangor.

“Ini agenda mingguan kita, kita turun setiap minggu bukan kerana sesuatu akan berlaku.

“Ini tanggungjawab kerajaan dan rakyat akan berasa selamat di negeri ini.

“Saya mahu orang-orang Gombak, berani membuat perubahan dan memperluaskan serta menyampaikan mesej kita di negeri lain,” katanya di majlis penyerahan sumbangan di Kampung Kerdas, di sini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin mengingatkan pimpinan supaya bertanggungjawab, bukan hanya berebut kuasa hingga terlupa masalah rakyat.

“DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan bahawa politik bukan semata-mata kerana kuasa tetapi pengertian keupayaan apabila diberi mandat dan pemimpin wajib berkhidmat dengan cemerlang.

“Rakyat Selangor memberi sokongan yang besar dan sejak 10 tahun berlalu kami berjaya melaksanakannya amanah dengan jujur, wibawa dan berintegriti demi rakyat.

“Walaupun diserang setiap hari tetapi masih kuat dan akan terus bangkit demi mempertahankan rakyat,” katanya.

Sejak 10 tahun lalu, sebanyak 42 program menerusi Insiatif Peduli Rakyat (IPR) dilaksanakan Kerajaan Negeri.

=EZY=


Pengarang :