NASIONAL

Mahasiswa PAKATAN: Desak Idris Jusoh dedah aset sebelum PRU 14

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 6 APR: Mahasiswa Pakatan Harapan (Mahasiswa PAKATAN) mencabar Datuk Seri Idris Jusoh bersama Menteri Kabinet lain mendedahkan segala aset sebelum bertanding dalam Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Pengerusi Mahasiswa PAKATAN, Na’im Brundage berkata, sekiranya kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) mahu membuktikan komitmen terhadap rakyat, inilah masa yang tepat untuk mereka bertindak sedemikian.

“Jika menteri dapat membuktikan aset mereka tidak terlibat sebarang rasuah, kami yakin rakyat dapat memberi tanggapan positif berhubung isu rasuah yang berlaku dalam negara.

“Perkara itu secara tidak langsung dapat memberi persepsi positif dan kepercayaan kepada kerajaan” katanya pada Sidang Media Mahasiswa Pakatan Harapan (PAKATAN) di Galeri PPBM HQ, Menara Yayasan Selangor, semalam.

Perkara itu didesak PPBM ekoran kenyataan Idris Jusoh yang memberi peringatan kepada mahasiswa untuk tidak terlibat dalam politik.

Sehubungan itu, Na’im memberi jaminan mahasiswa yang aktif dalam politik tidak akan menjejaskan prestasi Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA).

“Keutamaan dan tumpuan kami tidak pernah putus terhadap pengajian kami ketika menuntut di universiti.

“Kami juga rela mengistiharkan CGPA kepada khalayak umum jika menteri kabinet turut melakukan hal sama berkaitan aset mereka,” katanya.

Menyentuh soal rasuah, Na’im berkata, skandal itu kini berada ditahap kritikal apabila melihat kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017 dikeluarkan Transperacy International (IT) memaparkan negara berada di tangga 62 dalam rasuahnya seiring negara Cuba.

“Penurunan ini berubah amat ketara dibandingkan dengan tahun sebelumnya apabila kita masih berada di tangga 55.

“Tambahan pula, skandal membabitkan wang rakyat pasti menjejaskan prestasi menteri kabinet untuk berdepan dengan rakyat pada pilihanraya umum nanti,” katanya.


Pengarang :