NASIONAL

Malindo Air tambah 26 penerbangan domestik sempena PRU14

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 17 APR: Sebanyak 26 penerbangan domestik Malindo Air ditambah sempena Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), selepas menerima permintaan tinggi daripada rakyat Malaysia yang ingin pulang mengundi pada 9 Mei ini.

Syarikat penerbangan itu dalam kenyataan berkata, penerbangan tambahan berkenaan hanya dibuat pada 8 hingga 10 Mei dan sah melalui pembelian dalam talian, kaunter tiket Malindo Air dan ejen pelancongan di Malaysia.

“Bagi laluan Kota Kinabalu dan Kuching, sebanyak 16 penerbangan tambahan dibuat membabitkan 2,592 tempat duduk.

“Di samping itu, 10 penerbangan membabitkan 1,620 tempat duduk tambahan dibuat untuk laluan di Semenanjung Malaysia termasuk Pulau Pinang dan Kota Bharu,” katanya.

Sementara itu, Malindo Air sebelum ini mengumumkan pengecualian bayaran penalti untuk pembelian semula tiket dan penukaran tarikh bagi tiket yang dikeluarkan pada atau sebelum 10 April menerusi pusat panggilan dan pejabat tiket sempena PRU14.

“Tambang Malindo Air adalah termasuk yuran bagasi 15 kilogram (kg) bagi penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang.

“Bagi tambang untuk penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), ia termasuk yuran bagasi sebanyak 25kg dan 40kg masing-masing untuk kelas ekonomi dan perniagaan,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut berkenaan aktiviti dan promosi terkini Malindo Air boleh melayari Twitter (https://twitter.com/malindoair), Facebook (facebook.com/MalindoAirMalaysia) dan Instagram (instagram.com/malindoair).


Pengarang :