NASIONAL

Manfaat peluang, orang muda tekad mengundi

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 APR: Manfaatkan peluang mengundi pada Pilihanraya Umum ke 14 (PRU14) sebaiknya, itu antara pandangan sebahagian penuntut Universiti Selangor (UNISEL).

Muhd Rafiq Shamsul Nahar, 24 dari Fakulti Perniagaan dan Perakaunan berkata, mengundi itu hak rakyat memilih pemimpin berkaliber untuk mentadbir negara.

“Ibu-bapa dan guru perlu menerapkan semangat mengundi sejak dari kecil lagi, barulah pengundi muda seperti saya sedar nilai undi itu boleh diibaratkan seperti emas.

“Kita berpeluang melihat negara dipimpin sesebuah kumpulan pemerintah khasnya dari parti tertentu dalam tempoh masa empat hingga ke lima tahun, hasilnya selepas itu kita yang menilai dan seterusnya kita membuat pilihan semula melalui pilihanraya,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sebagai golongan muda, Muhd Rafiq juga mahu pemimpin adil dan matang mentadbir negara selepas PRU14 kali ini.

“Bidang pendidikan sudah tentu perlu dipandang serius memandangkan kami terbelenggu dengan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Saya berharap supaya kerajaan akan datang menangguhkan bayaran buat graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah,” katanya.

Bagi A.Kaviarasan, 25 pula berpendapat golongan muda perlu memilih pemimpin yang dapat mengawal kenaikan kos hidup daripada mencanak saban tahun.

“Saya lihat golongan muda begitu mudah tersenarai status bankrap disebabkan beban hutang dan punca utamanya ialah kos hidup tinggi,” katanya.

Penuntut Fakulti Perniagaan dan Perakaunan itu juga berharap supaya pelajar universiti mahupun kolej yang sudah layak mengundi menunaikan kewajipan tersebut.

“Pilihlah dengan baik, jangan semberono sahaja, buatlah kajian terlebih dahulu dan peka dengan isu semasa,” katanya.

Sementara itu, Nur Aidilia Amir Hamzah, 26 berkata, satu undi diibaratkan seperti satu bongkah jongkong emas.

“Ini adalah masa depan negara, jika kita salah memilih pemimpin sudah tentu generasi akan datang mengalami pelbagai masalah termasuk beban hutang dan mungkin ada diantara golongan muda tidak mendapat hak sewajarnya.

“Disebabkan itulah saya mengatakan ia emas, bayangkan jika kita tidak menggunakan emas ini sebaiknya, sudah tentu ia mendatangkan kerugian,” katanya.


Pengarang :