PBTSELANGOR

MBSA anjur Kejohanan Bola Tampar, lahir pelapis berbakat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APR: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dengan kerjasama Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) menganjurkan Kejohanan Bola Tampar Piala Datuk Bandar dan Piala Timbalan Datuk Bandar.

Kejohanan yang bermula dari 11 hingga 15 April itu turut mendapat kerjasama sepenuhnya Persatuan Bola Tampar Selangor.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, penganjuran yang saban tahun diadakan itu bertujuan melahirkan pemain pelapis sukan bola tampar untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

“Pada masa sama, kejohanan ini juga sebagai galakan memupuk amalan hidup sihat dalam kalangan peserta.

“Ia malahan turut menjadi platform terbaik daripada pihak kami untuk memperkenalkan bandar raya Shah Alam sebagai sebuah bandar raya sukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Bola Tampar, di Dewan Bola Tampar MBSA, Seksyen 4, di sini, hari ini.

Shahrin berkata, Kategori Terbuka Lelaki dan Wanita Kebangsaan Piala Datuk Bandar Shah Alam berjaya menarik penyertaan sebanyak 12 pasukan jemputan dari seluruh negara.

Katanya, sebanyak 48 pasukan amatur menyertai bagi Kejohanan Piala Timbalan Datuk Bandar.

“Ia termasuklah dari Pulau Pinang, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

“Selain itu, penglibatan sama dalam kejohanan kali ini adalah daripada Penjara Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia,” katanya.

Kejohanan Bola Tampar tahun ini menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan sejumlah RM28,000 berserta Piala Iringan.

=EZY=


Pengarang :