SELANGOR

Parlimen Damansara lawan tiga penjuru, DUN Bukit Lanjan dua penjuru

OLEH SABIRAH AZIZ

PETALING JAYA, 28 APR: Kerusi Parlimen Damansara (P.106) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Lanjan masing-masing bakal menyaksikan persaingan tiga dan dua penjuru dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Bahagian Pilihan Raya P.106 Damansara, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain di Dewan Puay Chai SRJKC Jalan SS2/54, Petaling Jaya.

Kawasan Damansara yang dahulunya Petaling Jaya Utara diwakili calon Pakatan Harapan (PAKATAN), Tony Pua Kiam Wee bagi mempertahankan kerusi yang pernah dimenanginya pada pilihan raya sebelum ini.

Beliau akan ditentang oleh Ho Kwok Xheng dari Barisan Nasional (BN) dan Dato’ Wong Mun Kheong (PRM).

Ketika PRU13, beliau memenangi parlimen terbabit dengan majoriti 44,672 apabila mendapat 57,407 undi mengalahkan Chew Hoong Ling (BN) (12,735).

Sementara itu, bagi kerusi DUN N37 Bukit Lanjan menyaksikan pertembungan di antara Elizabeth Wong dari KEADILAN dan calon BN Syed Abdul Razak Syed Long AlSagoff.

Sebelum itu, kehadiran Elizabeth Wong diiringi paluan kompang oleh penyokong Pakatan Harapan pagi tadi.

Elizabeth yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Lanjan, hadir kira-kira 8.30 pagi, tampil ceria mengenakan busana berwarna merah sebelum memulakan perarakan ke pusat penamaan calon.

Dalam perarakan itu, beliau diiringi penyokong KEADILAN dan Pakatan Harapan (PAKATAN) daripada pelbagai kaum yang membawa bendera dan sepanduk.

Perarakan bersemangat itu disertai laungan reformasi oleh penyokongnya dan tiba ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Puay Chai SRJKC Jalan SS2/54, Petaling Jaya kira-kira 15 minit kemudian.

=EZY=


Pengarang :