HULU SELANGOR 05 May 2013. Orang ramai melaksanakan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia menbuang undi di Sekolah Kebangsaan Bukit Sentosa. NSTP/Chan Wai Yew
NASIONAL

PulangMengundi.com, UndiRabu.com berjaya raih dana RM110,000

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 APR: Sekumpulan anak muda prihatin berjaya mengumpulkan RM110,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan pulang mengundi.

Wang sumbangan orang ramai itu berjaya dikumpulkan melalui laman media sosial, UndiRabu.com dan PulangMengundi.com.

Pengasas bersama PulangMengundi.com, Timothy Teoh berkata, pihaknya juga telah berjaya menyewa 16 bas yang akan berlepas dari Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Puchong, Selangor.

Katanya, turut disediakan ialah subsidi perjalanan dan juga khidmat kongsi kenderaan untuk orang ramai.

“Kami memulakan inisiatif ini setelah melihat ramai pengundi mengeluh kerana tidak mempunyai wang cukup untuk pulang mengundi.

“Lebih sukar apabila ada yang perlu pulang ke Sabah, Sarawak kerana tempoh masa begitu singkat,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) kelmarin.

Sehingga kini lebih daripada 25,000 pengguna media sosial telahpun melayari laman web PulangMengundi.com dan UndiRabu.com sejak dilancarkan pada 13 April.

Pengerusi Belia KLSCAH, Lee Wai Hong berkata, inisiatif itu tidak melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Kami juga ingin menafikan dakwaan segelintir pihak mengatakan inisiatif ini mendapat sokongan mana-mana parti politik,” katanya.

Tempoh pembiayaan ini akan berlangsung sehingga 25 April dan orang ramai boleh melayari UndiRabu.com untuk menderma dan melihat laluan bas yang disediakan.

Sementara laman PulangMengundi.com mengandungi maklumat kongsi kereta dan subsidi perjalanan.

Bagi mereka yang kurang berkemampuan pula boleh menghubungi 03-78736579 untuk maklumat lanjut.


Pengarang :