SELANGOR

Seteru politik Azmin, kini bantu jentera PAKATAN Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 29 APR: Datuk Mohamad Ezam Mohd Noor menyatakan sokongan terbuka beliau kepada kepimpinan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Selangor.

Beliau yang pernah menjadi seteru dan pesaing politik Mohamed Azmin berkata, Dato’ Menteri Besar itu menunjukkan prestasi terbaik untuk kekal menerajui kepimpinan Selangor.

“Saya hadir memberi petanda jelas bahawa saya akan bersama beliau mempertahankan Selangor.

“Wajib untuk saya mempertahankan Menteri Besar saya yang menunjukkan prestasi baik dalam mencorak pentadbiran Selangor.

“Kalau beliau ada skandal rasuah dan sebagainya, ia tidak mewajibkan saya untuk mempertahankannya.

“Justeru, saya akan bekerja kuat untuk pastikan pasukan Azmin dan Pakatan Harapan (PAKATAN) akan kekal di Selangor,” katanya.

Semalam, Ezam hadir di Pusat Penamaan Calon P0.98 yang menyaksikan Mohamed Azmin kekal bertanding di kawasan Parlimen Gombak.

Beliau turut kelihatan, berarak bersama Mohamed Azmin dan calon-calon PAKATAN ke Pusat Penamaan Calon P0.98 Sungai Pusu.

Malah, ketika sesi pengumuman calon oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ezam turut bersama 5000 penyokong PAKATAN kekal bersama Mohamed Azmin dan calon PAKATAN, bagi memberikan sokongan.

Ezam merupakan pesaing utama karier politik Mohamed Azmin, ketika menjadi setiausaha politik kepada Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika itu, Mohamed Azmin merupakan Setiausaha Sulit kepada Anwar.

Bagaimanapun dilaporkan, wujud perselisihan antara Ezam dan pimpinan KEADILAN yang menyaksikan beliau mengumumkan pengundurannya daripada Parti Keadilan Nasional (sebelum ditukar kepada KEADILAN).

Beliau menyertai Umno dan dipilih menjadi senator di bawah pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Ketika pentadbiran Najib, beliau keluar daripada Umno berikutan skandal kewangan Perdana Menteri itu.

“Saya bersama-sama mereka yang ingin menjatuhkan Najib Tun Razak kerana saya pernah berada di Kementerian Kewangan.

“Tetapi, saya melepaskan jawatan kerana saya tahu banyak kes-kes melibatkan 1MDB Najib dan sebagainya.

“Malah, saya juga tahu bahayanya kalau Najib terus kekal menjadi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan,” tegas Ezam.


Pengarang :