NASIONAL

SPR terdesak kenakan syarat tambahan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 APR: KEADILAN membidas tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menetapkan syarat tambahan penggunaan bahan kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dengan membenarkan penggunaan gambar Presiden dan Timbalan Presiden sahaja.

Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendakwa, syarat itu sebagai tindakan terdesak dengan mengharamkan penggunaan gambar Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai bahan kempen PRU-14.

“Jelas sekali SPR bertindak melangkaui tiga tugas dan tanggungjawab utama seperti termaktub dalam perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, iaitu menjalankan pilihan raya, menyediakan dan menyemak daftar pemilih serta menjalankan kajian semula bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri.

“SPR harus memastikan PRU14 ini berjalan secara bebas, bersih dan adil, bukannya menetapkan syarat berat sebelah dan tidak masuk akal,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi SPR, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah dalam kenyataan dilaporkan berkata, penggunaan gambar pemimpin utama selain Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dibenarkan.

Namun, bahan kempen itu boleh digabungkan atau diletakkan secara berasingan bagi gambar kedua pemimpin utama parti politik.

Katanya, penyelarasan semula syarat berkempen itu secara tidak langsung dapat memastikan segala aktiviti dilakukan calon parti politik berjalan dalam keadaan aman dan lancar.


Pengarang :