PBTSELANGOR

34 peniaga bazar Ramadan guna e-wallet

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 30 MEI: Sebanyak 34 bazar Ramadan di SS6/1, Kelana Jaya kini menggunakan konsep e-wallet, tanpa perlu pembeli membawa duit.

Sekretariat Media, Unit Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berkata, kaedah itu memudahkan pengguna berbelanja tanpa membawa fizikal tunai dan transaksi hanya berlaku menerusi telefon bimbit.

Katanya, peniaga pula akan menggunakan aplikasi ‘Boost’ untuk melakukan urusan jual beli.

“Ketika ini, MBPJ turut memperkenalkan ‘cashless society’ di bawah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) yang bertanggungjawab menjayakan program Smart Selangor,” katanya.

Pada masa sama, MBPJ berkata, pihaknya melancarkan sistem permohonan dalam talian bagi permohonan permit bazar Ramadan, bermula tahun ini.

Katanya, sebanyak 1,128 permohonan diterima MBPJ, di 20 lokasi sekitar Petaling Jaya.

“Pada tahun ini juga MBPJ menggunakan tema bazar Ramadan mampan, iaitu ‘disiplin tanpa diawasi, peniaga berintegriti’.

“Selaras dengan tema itu, MBPJ akan memberi penekanan kepada syarat lesen dan kesihatan oleh peniaga yang berlesen untuk mewujudkan bazar Ramadan bersih, teratur serta kurang aduan,” katanya.

Sementara itu, bagi syarat kesihatan MBPJ menekankan pematuhan pemakaian apron, topi dan sarung tangan, memastikan keadaan makanan atau minuman dijual ditutup dengan rapi, membersihkan kuku serta tangan sebelum juga selepas menjalankan perniagaan.

Mengikut rekod 2017, MBPJ mengeluarkan 62 kompaun kesihatan dan 61 kompaun penguat kuasaan, manakala 45 notis dikeluarkan setakat ini kepada peniaga yang tidak mempunyai lesen perniagaan sah.

 


Pengarang :