Selangorkini
BERITA UTAMA NASIONAL

Agenda Reformasi, babak baru pentadbiran negara – Anwar

ccsb-ads

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 16 MEI : Agenda Reformasi akan terus diangkat dalam mandat pentadbiran baru Kerajaan Putrajaya, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, ia akan menjadi senario dan babak baru ke arah memacu pentadbiran Malaysia yang lebih baik dan bebas korupsi.

“Ini berlaku dengan izin Allah, ia juga terjadi kerana semangat kuat yang ditunjukkan rakyat yang berjuang hampir 20 tahun tanpa rasa letih.

“Hari ini akan menjadi detik permulaan dan babak baru. Saya secara peribadi sudah menyatakan sokongan saya terhadap Tun Mahathir Mohamd (Perdana Menteri) dan Wan Azizah (Timbalan Perdana Menteri) untuk menerajui negara.

“Saya sebagai rakyat biasa, akan menyokong kepimpinan ini,” katanya pada sidang media di kediaman rasminya di Bukit Segambut, petang ini.

Hadir sama, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga pimpinan utama KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Dr Xavier Jayakumar.

Ini merupakan sidang media pertama Anwar Ibrahim selepas mendapat pembebasan daripada Yang Dipertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pembebasan Anwar Ibrahim dibuat tanpa sebarang syarat dan diputuskan Lembaga Pengampunan, pagi ini.

Anwar dibebaskan di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur tepat jam 11.30 pagi ini.

Sejurus pembebasannya, beliau dilaporkan ke Istana Negara, menghadap Seri Paduka Agong, bagi menzahirkan penghargaan Anwar ke atas pembebasannya.

Terdahulu, Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun atas pertuduhan Fitnah II.

=EZY=


Pengarang :