NASIONAL

Akta Antiberita Tidak Benar akan dimansuhkan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Akta Antiberita Tidak Benar yang digazetkan secara rasmi pada April lepas akan dimansuhkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, cadangan bagi memansuhkan akta itu akan dibawa kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar ia dapat dihapuskan secepat mungkin.

“Saya ada satu senarai yang kami perlu kaji. Saya akan adakan sidang media untuk beritahu secara khusus. Kita ada Akta Antiberita Tidak Benar. Sepertimana yang disebut dalam manifesto Pakatan Harapan, kami akan memansuhkannya.

“Kami akan tetapkan tempoh masa, 100 hari yang pertama kami harus menunaikan tetapi berapa banyak masa yang diperlukan saya akan bincangkan dengan pegawai-pegawai,” katanya.

Gobind berkata kebebasan media menjadi agenda utamanya, namun perkara itu perlu dibuat rujukan berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Kebebasan media adalah keutamaan saya. Media membuat berita dan syarikat penerbitan terikat dengan undang-undang sedia ada jadi kami perlu melihat dari segi itu dan kami harus mencari kaedah yang kita boleh tingkatkan kebebasan akhbar di negara ini.

“Saya akan wujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan supaya mereka dapat lihat kepada impak undang-undang setakat ini, di mana ada kelemahan dan kami akan cuba perbaiki,” katanya memetik laporan Bernama.

Antara perkara lain yang akan dikaji semula termasuk beberapa undang-undang berkaitan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang berkaitan aduan dan siasatan terhadap beberapa kes yang dilaporkan.

Selain itu, Ahli Parlimen Puchong itu berkata beliau turut akan memberi perhatian serius terhadap keseluruhan aspek laporan berita dan mencari jalan bagaimana sistem televisyen tempatan dapat bersaing dengan saluran media antarabangsa.

Katanya, media tempatan perlu mempelajari daripada media antarabangsa untuk lebih berpengetahuan dalam penyampaian berita.

=EZY=

 


Pengarang :