SELANGOR

Amirudin dan Zaidy bersua muka, hadir buang Undi Taman Templer

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SELAYANG, 9 MEI : Biarpun berbeza sentimen politik terkini, Calon N16, Sungai Tua, Amirudin Shari (Pakatan Harapan) sempat bertegur sapa dengan Calon N15 Taman Templer, Zaidy Abdul Talib (PAS).

Kedua-kedua pemimpin itu bersua muka ketika hadir membuang undi di Pusat Mengundi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Selayang Baru, jam 9.10 minit, pagi ini.

Mereka sempat bertanya khabar dan berbual-bual tentang perkembangan isu-isu kemasyarakatan di setempat, di Dewan Undangan Negeri (DUN), Taman Templer.

Sebelumnya, Amirudin bersama isterinya, Masdiana Muhamad yang sedondon memakai baju ‘Biru Muda’ tiba di Pusat Pengundian berkenaan, tepat jam 9.00 pagi.

Beliau sempat menyantuni dan bersalaman dengan pengundi-pengundi bagi kawasan Parlimen Selayang itu.

Dalam perkembangan sama, orang awam mula hadir membuang undi di kawasan berkenaan, sejak jam 8.00, pagi ini.

Parlimen Selayang menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Calon Pakatan Harapan, William Leong bersaing bersama calon BN, Kang Meng Fuat dan calon PAS, Brig. Jen. (B) Datuk Hashim Karim.

Manakala, DUN Kuang pula menyaksikan perebutan empat penjuru antara calon BN, Datuk Abdul Shukur Idrus yang juga penyandang kerusi, calon PAS, Mohd. Fauzan Madzlan, calon PAKATAN, Salehudin Amiruddin dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Mohd. Rafie Mohammad.

DUN Rawang pula memperlihatkan perebutan kerusi antara muka-muka baharu dengan calon BN, Chan Wun Hoong, calon PAS, Kong Tuck Wah dan calon PAKATAN , Chua Wei Kiat dan calon bebas, Azman Mohd. Nor.

Sementara itu, DUN Taman Templer pula menyaksikan perebutan empat penjuru antara calon BN, Datuk Ir. Md. Nasir Ibrahim, calon PAKATAN, Muhd. Sany Hamzan, calon PAS, Zaidy Abdul Talib, calon PRM, Koh Swe Yong dan calon Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rajandran Batumalai.

=EZY=

 


Pengarang :