NASIONAL

BN lepas tangan isu warga asing, PAKATAN janji penyelesaian komprehensif

OLEH NADIAH ZAMLUS

AMPANG, 2 MEI: Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersifat lepas tangan apabila tidak menyelesaikan isu warga asing secara efektif.

Calon P99 Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, lebih daripada 10 tahun isu berkenaan diutarakannya kepada Parlimen, namun tiada tindakan komprehensif.

Katanya, lebih aneh apabila BN terus ingin membawa lebih ramai warga asing dengan alasan pembangunan, namun tiada langsung pemantauan sehingga jelas telah merugikan seluruh rakyat Malaysia.

“Saya yakin sekiranya Pakatan Harapan (PAKATAN) diberi mandat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini, kami akan mewujudkan sistem lebih efisien dan realistik untuk mengawal kemasukan warga asing.

“PAKATAN juga akan memastikan setiap warga asing dibawa masuk secara sah diwajibkan melalui proses integrasi supaya mereka menghormati masyarakat, undang-undang, budaya dan adat kita di Malaysia,” katanya kepada SelangorKini.

Ketua Wanita PAKATAN itu juga berkata, menurut statistik, terdapat lebih 3.3 juta warga asing yang sedang bermastautin di Malaysia terutamanya di kawasan-kawasan bandar besar.

Katanya, pihaknya tidak menolak adanya keperluan untuk pekerja asing terutama bagi skop kerja 3D (Dirty, Difficult & Dangerous).

“Permintaan untuk sektor 3D semakin meningkat dan sejujurnya kurang diminati warga tempatan. Namun begitu, dengan jumlah sebegitu ramai sudah pastinya ia memberi kesan kepada ekonomi, sosial dan budaya.

“Dari sudut ekonomi, jumlah wang pekerja asing dihantar dari Malaysia ke negara asal meningkat kepada RM34.7 bilion pada 2015 membuktikan pengambilan pekerja asing besar-besaran kerajaan menambah beban ekonomi rakyat,” katanya.

=EZY=


Pengarang :