SELANGOR

Dusun Tua mampu jadi pusat tarikan pelancong

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 MEI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Edry Faizal Yusof yakin kawasannya berpotensi dijadikan tempat tarikan pelancong popular di Selangor.

Edry berkata, melihat kepada keindahan alam semula jadi serta kawasannya yang strategik berdekatan dengan ibu kota antara kelebihan kawasan itu mampu dibangunkan untuk tarikan pelancong.

“Di sini terdapat kawasan air pana, air terjun Sungai Gabal, air terjun Tekala, kawasan perkelahan dan rekreasi Sungai Congkak antara yang menarik untuk dikunjungi.

“Jika kita dapat tarik lebih ramai pelancong, secara tidak langsung ia akan memberi manfaat kepada ekonomi serta rakyat di negeri ini,” katanya dilapor Sinar Harian

Edry turut berharap kementerian dapat membantu membangunkan industri pelancongan di Dusun Tua.

“Saya akan bertemu dengan Exco Negeri untuk mencadang dan membincangkan perkara ini dengan lebih lanjut,” katanya.

Pada masa sama, Edry berkata, sepanjang Ramadan ini beliau menjalankan program agihan bubur lambuk pada setiap hari ahad di hadapan Dewan Batu 16.

Katanya, sebanyak 150 bekas diedarkan kepada penduduk dan golongan asnaf di kawasannya dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Batu 16 serta Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus.


Pengarang :