SELANGOR

Kekal PAKATAN di Selangor, rampas Putrajaya demi kebajikan rakyat

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 6 MEI: Rakyat perlu terus memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) di Selangor seterusnya mengambilalih Putrajaya demi masa depan lebih baik pada masa depan.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, ini kerana PAKATAN telah berjaya mentadbir Selangor dengan baik serta menikmati pembangunan ekonomi membanggakan.

“Kita harap rakyat terus memberikan sokongan untuk PAKATAN kekal di Selangor dan selepas ini kita rampas Putrajaya.

“Bila kita berjaya, antara perkara pertama akan kita buat ialah akan menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST),” katanya dalam program Masak Bubur Lambuk Perdana di Taman Jasa Utama di sini, hari ini.

Beliau berkata, janji terkandung dalam manifesto PAKATAN itu mampu dilaksanakan kerana pentadbiran Kerajaan Negeri diterajui parti itu telah melaksana program membela nasib rakyat melalui agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Katanya, perbezaan dalam pentadbiran PAKATAN berbanding Barisan Nasional (BN) dan parti lain ialah pembangunan dilaksanakan turut juga merangkumi usaha membela nasib rakyat seperti wanita, kaum ibu, anak sekolah, orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan yang lain.

“Setakat ini hanya PAKATAN yang menjanjikan untuk mengekalkan semua program IPR ini.

“BN tak dapat janji, parti lain pun tak dapat janji maka saya percaya dengan apa kita lakukan iaitu bukan sekadar janji tetapi ia telah dilaksanakan,” katanya memaklumkan terdapat lebih kurang 3,900 pemegang kad Peduli Sihat dan 1,319 peminjam Hijrah di DUN Sungai Tua.

Katanya, PAKATAN berjaya melaksanakan segalanya demi kebajikan rakyat kerana membentuk satu kepimpinan yang telus dan berintegriti dengan menjaga amanah dipertanggungjawabkan dan tidak mengagihkan kekayaan negeri kepada kroni juga keluarga.

“Jika sebelum ini ada pihak menyatakan tiada siapa boleh tadbir Selangor selain BN tetapi kita telah buktikan dalam tempoh 10 tahun.

“Alhamdulillah, Selangor kekal sebagai negeri paling membangun dan maju,” kata menyandang DUN Sungai Tua itu.

Turut hadir, isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin.

=EZY=


Pengarang :