BERITA UTAMANASIONAL

Perutusan Hari Wesak 2018

OLEH DATO’ SERI MOHAMED AZMIN ALI

Sambutan Hari Wesak di Malaysia pada tahun ini amat istimewa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Ini kerana, Hari Wesak disambut penganut Buddha dalam tempoh tidak lama selepas rakyat Malaysia bersuara menuntut perubahan.

Wesak adalah hari istimewa untuk penganut agama Buddha memperingati kelahiran, pencerahan agung dan pemergian Gautama Buddha menerusi Nirvana.

Di Malaysia, pelbagai upacara keagamaan Hari Wesak diraikan oleh penganut Buddha dengan aman dan damai.

Malah, tradisi perayaan Wesak yang berwarna-warni telah pun diangkat dan menjadi sebahagian citra tanah air ini.

Seiiring dengan semangat Wesak yang meraikan kelahiran dan pencerahan agung, ia sebenarnya bertepatan dengan kelahiran Malaysia Baharu mutakhir ini.

Kelahiran Malaysia Baharu ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa pencerahan rakyat Malaysia yang mahukan pembaharuan dan keadilan ditegakkan.

Kelahiran Malaysia Baharu dan pencerahan hebat rakyat negara ini wajar diingati dan diinsafi betapa pentadbiran yang telus dan mengutamakan rakyat perlu selalu dijunjung.

Saya mengambil keputusan untuk menggalas tanggungjawab di peringkat Persekutuan atas kesedaran mahu menyelamatkan negara ini.

Sesungguhnya, ia adalah tanggungjawab yang berat, namun perlu dipikul demi memperbetulkan keadaan negara.

Kepada penganut Buddha di Malaysia, raikanlah sambutan Hari Wesak dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan.

Selamat menyambut Hari Wesak.

Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali
Menteri Hal Ehwal Ekonomi
Menteri Besar Selangor


Pengarang :