SELANGOR

Wan Azizah tak lupa tanggungjawab di Parlimen Pandan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Perdana Menteri tidak menjadi penghalang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail melupakan rakyatnya, di kawasan Parlimen Pandan.

Beliau meluangkan masa menziarah mangsa kebakaran rumah setinggan di Pandan Jaya sebaik selesai menghadiri mesyuarat kabinet kali kedua dan sidang media, di Putrajaya, semalam.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menyantuni mangsa kira-kira 30 minit di Dewan Pandan Bestari yang menempatkan seramai 70 mangsa, di samping menyelaras hal kebajikan mereka.

Dr Wan Azizah berkata, kerajaan akan menghulurkan bantuan kemudahan bagi meringankan beban mangsa.

“Untuk sementara, semua mangsa ditempatkan di dewan ini sebagai transit.

“Kita akan cuba sebaik mungkin memberi keselesaan kepada mangsa sekurang-kurangnya dengan menyediakan khemah bagi tujuan privasi ketika mereka berada, di pusat penempatan sementara ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Pejabat Daerah Hulu Langat akan menyusun semua bantuan secepat mungkin kepada mangsa.

Dalam lawatan sama, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi berbentuk wang tunai kepada mangsa terbabit.


Pengarang :