NASIONAL

THN: Tak pelik rakyat bantu, aneh yang buat lepas tangan – Dr MaZa

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 31 MEI: Langkah kerajaan menubuhkan Tabung Harapan Negara (THN) bagi mengumpul sumbangan daripada rakyat dalam menangani masalah ekonomi, menarik perhatian ramai dengan pelbagai pandangan dilontarkan mengenainya.

Selain menjadi topik perbualan netizen di media sosial, isu berkaitan juga mendapat tumpuan tokoh keagamaan, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang berpendapat ia bukan satu perkara janggal apabila rakyat menyatakan kesediaan bagi membantu kerajaan dalam perkara berkenaan.

“Tidaklah pelik jika ada yang cuba tolong Kerajaan bayar hutang. Ia satu usaha yang bersifat sukarela.

“Siapa mahu boleh berikan, siapa tidak mahu boleh biarkan,” katanya dalam laman Facebook, DrMAZA.com

Beliau selanjutnya menyatakan, apa yang menjadi persoalan adalah pihak yang mencetuskan masalah terbabit dan ‘lepas tangan’ apabila keadaan menjadi rumit.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, langkah kerajaan mewujudkan THN bagi membolehkan derma dan sumbangan diuruskan secara sistematik dan telus di bawah kementeriannya.

“Berdasarkan perkembangan semasa ekonomi dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan.

“Rakyat secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas kepada kerajaan bagi menangani isu berkenaan,” katanya.

Sebelum itu, Lim membuat kenyataan, kerajaan kini menanggung masalah hutang negara melebihi RM1 trilion diwarisi daripada pentadbiran sebelumnya.


Pengarang :