KPDNHEP boleh melaksanakan mekanisme kawalan harga barang jika berlaku kenaikan melampau. Foto ARKIB SELANGORKINI
NASIONAL

GST 0%: Harga barang tidak jatuh serta merta

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Biarpun Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) disifarkan bermula hari ini, namun harga barang tidak akan turun serta merta.

Ketua Umum Pakatan Harapan (PAKATAN), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan perlu meningkatkan program kesedaran secara menyeluruh bagi menjelaskan ia tidak menjejaskan keuntungan perniagaan.

“Dari pengalaman saya, harga barang mudah naik tetapi susah nak turun.

“Jika mahu pastikan harga barang benar-benar turun, kerajaan perlu tingkatkan program kesedaran yang menjelaskan bagaimana penghapusan cukai itu tidak menjejaskan keuntungan perniagaan.

“Semasa saya di penjara, atau di hospital, kakitangan penjara dan hospital mengeluh betapa terbebannya mereka dengan cukai itu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual AI, terbitan Astro Awani.

Anwar turut memuji pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang memenuhi janji untuk memansuhkan GST.

Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan barisan jemaah menteri akan memastikan perbelanjaan dikurangkan dan masalah rasuah berkurangan.

“Masih terlalu awal untuk mengukur keberkesanan saf itu, namun saya percaya
barisan ini mampu mempertahankan apa yang Pakatan Harapan janji akan ubah dan tidak lagi berbelanja besar, terlibat rasuah, pembaziran dan perbelanjaan tidak terkawal,” katanya.

AI berdurasi 15 minit bersiaran setiap Khamis, 8.15 malam memberi fokus kepada pandangan dan pendapat Anwar mengenai isu-isu semasa dan dikendalikan oleh Ashwad Ismail.

 


Pengarang :