BERITA UTAMASELANGOR

Sidang DNS dijangka bermula Julai

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 26 JUN: Persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) dijangka bermula Julai ini selepas mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata sebarang perubahan akan dimaklumkan kemudian.

“Mesyuarat sepenuhnya akan mengiku jadual, kita perlu mendapatkan perkenan Tuanku Sultan sepertimana yang tertakluk dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

“Insya-Allah jadual kita (DNS) pada Julai, kalau ada keutamaan untuk kita anjakkan, kita anjakkan dan kemudian sidang belanjawan pula dijangka pada bulan Oktober atau November mengikut kepada kesesuaian masa dan persediaan Kerajaa (Negeri),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Angkat Sumpah Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas hari ini.

Mengulas mengenai ketiadaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis, Mat Shuhaimi Shafiei beliau berkata ia disebabkan masalah kesihatan dan dijangka mengangkat sumpah pada pembukaan persidangan akan datang.

“Saya harus melihat laporan doktor sebelum membuat kenyataan namun beliau telah melalui proses pilihan raya, berkempen dan sihat pada masa itu jadi saya masih mengenalpasti punca serta masalah,” katanya.

=EZY=

 


Pengarang :