SELANGOR

Tourism Selangor sertai UTE 2018, di China

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 JUN: Buat julung kalinya Tourism Selangor bersama Sunway Lagoon dan Sunflower Holidays menyertai pameran Universal Tourism Exhibition (UTE) di Shenyang, China, pada 5 hingga 7 Jun lalu.

Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid berkata, penyertaan itu sebagai landasan terbaik untuk Selangor dapat diperkenalkan dengan lebih meluas di peringkat antarabangsa.

Katanya, walaupun hubungan dua hala di antara Malaysia dan China terjalin sejak sekian lama, namun tujuan utama menyertai pameran itu bagi memperkenalkan tempat percutian menarik di negeri itu.

“Selangor antara bandar utama menawarkan pusat tarikan pelancong yang menarik selain mempunyai masyarakat dan etnik cina tempatan yang lebih ramai berbanding di negeri lain juga adalah salah satu kelebihan.

“Oleh itu, sepanjang tiga hari berlangsungnya UTE, Tourism Selangor berpeluang mempromosikan pakej khusus untuk pasaran China antaranya pakej Holiday & Honeymoon, Shopping & Food Trail, pelancongan Agro, Eco Adventure dan pakej Sunway Lagoon Integrated.

“Selain itu, Torusim Selangor juga mempromosikan produk baru yang berpotensi tinggi seperti Sky Mirror Kuala Selangor, Tanjung Sepat, Kuala Kubu Bahru Eco Adventure dan banyak laig,” katanya dalam kenyataan.

Untuk rekod, tahun lalu menyaksikan pelancong dari negara tembok besar itu meningkat 7.28 peratus iaitu seramai 2.281 juta.

Sementara itu, Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata, pihaknya akan terus optimis meningkatkan bilangan pelancong dari China tahun ini dengan kempen pemasaran yang baru.

Katanya, antara inisatif diambil adalah menggunakan aplikasi Weibo dan Wechat dimana kini terdapat hampir 30,000 pengikut dari pasaran China.

“Dengan kedatangan berterusan dari pelancong China, kita berjaya menerokai produk baru serta membuat penambahbaikan bagi memenuhi permintaan mereka yang ingin merasai pengalaman baru di negeri ini.

“Selangor juga masih mempunyai banyak tempat dilihat berpotensi untuk pembangunan dan boleh diterokai lebih jauh,” katanya.


Pengarang :