NASIONAL

Trafik di lebuh raya utama mulai perlahan

KUALA LUMPUR 13 JUN: Aliran trafik di beberapa kawasan lebuh raya utama mulai perlahan, setakat jam 9.30 pagi ini, susulan peningkatan bilangan kenderaan meninggalkan ibu kota sempena sambutan Aidilfitri.

Jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata, aliran trafik dilaporkan perlahan dari Rawang Selatan menuju ke Rawang, Rawang ke Sungai Buaya, Bidor ke Tapah, Tapah ke Gopeng, dan Kuala Kangsar ke kawasan mendaki Bukit Berapit.

“Kesesakan sejauh 10 kilometer (km) pula dilaporkan berlaku di laluan Taiping ke Bukit Merah susulan kemalangan membabitkan sebuah lori tangki di Kilometer 194.9.

“Lori tangki itu dilaporkan terbalik di lorong kanan serta menghalang laluan, dan kerja pengalihan sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, keadaan trafik di semua laluan selatan pula masih terkawal dan lancar, setakat ini.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi pula berkata, aliran trafik mulai perlahan selepas Plaza Tol Gombak hingga ke Genting Sempah.

“Trafik perlahan turut dilaporkan berlaku di Bukit Tinggi menuju ke Lentang dan dari Stesen Minyak Shell Lentang ke arah Bentong.

“Laluan lain di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) masih terkawal dan lancar, setakat ini,” katanya.

Katanya, walaupun jumlah kenderaan meninggalkan ibu kota dijangka bertambah, ada beberapa laluan di sekitar Lembah Klang yang masih sesak seperti biasa.

Antara lain, katanya, trafik perlahan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dari Jalan Majlis menghala ke Kelana Jaya, Taman Megah ke SS2 dan Puchong Perdana ke Puchong Intan, selain di Lebuh Raya Baru Lembah Klang (NKVE) dari Shah Alam menghala ke Subang.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter: www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter: www.twitter.com/llminfotrafik.

SUMBER: BH ONLINE


Pengarang :