SUKANKINI

Adam Norrodin sertai Kejohanan Superbike Malaysia hujung minggu ini

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 26 JUL: Pelumba Moto3 negara, Muhammad Adam Norrodin, menggunakan tempoh rehat MotoGP dengan menyertai perlumbaan pusingan kedua Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK), di Litar Sepang, hujung minggu ini.

Adam akan menyertai pasukan ZK Racing dimiliki Muhammad Zulfahmi Khairuddin untuk perlumbaan Supersport 600cc bagi membentuk gandingan bersama abangnya, Muhammad Ibrahim Norrodin.

“Saya teruja untuk berdepan cabaran dalam perlumbaan minggu ini dengan peluang berlumba bersama abang saya, dalam ZK Racing.

“Pelumbaan ini akan saya gunakan sebaiknya untuk mencatat keputusan terbaik dan terima kasih kepada ZK Racing yang memberi peluang selain sebagai persiapan bagi menghadapi baki saingan Moto3, selepas ini,” katanya.

Mengulas penyertaan Adam, Zulfahmi berkata, ia adalah satu penghormatan untuk ZK Racing selaku pasukan perlumbaan baharu untuk mempunyai Adam dan mekanik Team Racing IT, Habib.

“Saya harap pelumba yang lain akan mengambil kesempatan untuk belajar sebanyak mungkin daripada Adam. Begitu juga untuk krew pasukan, mereka boleh belajar daripada Habib dengan pengalamannya menyediakan motosikal untuk kejohanan dunia yang sangat mencabar.

“Semoga semuanya berjalan lancar dan ZK Racing dapat mencapai keputusan baik, pada hujung minggu ini,” katanya.

MSBK memasuki pusingan kedua selepas berehat panjang dengan pusingan pembukaan diadakan, pada pertengahan Mei.

Selain dari Kejohanan Supersports dikendalikan berdasarkan peraturan WSBK 600cc, pusingan kedua juga akan menampilkan pusingan pembukaan Desmo Ducati dan pusingan ketiga Piala Idemitsu Asia selain kategori MSBK tradisional Superbike, Superstock serta Super 250.

Selepas perlumbaan di Grand Prix Qatar di Losail dan WSBK Thailand di Buriram, ATC, iaitu program pembangunan junior disokong pemegang hak MotoGP di seluruh dunia, Dorna, kini diunggulkan pemain muda Jepun, Haruki Noguchi.

Beliau mengumpul 95 mata hasil tiga kemenangan dan satu tempat kedua selepas empat perlumbaan dengan kelebihan 25 mata berbanding Bill Van Eerde (Australia) dengan 70 mata diikuti Mario Aji (Indonesia) (53).

Danial Shahril adalah pelumba tempatan mengumpul mata terbanyak dengan 35 mata, di tangga kelima.

MSBK akan bermula esok dengan sesi kelayakan pada hari pertama dan kedua diikuti perlumbaan, pada 29 Julai ini.


Pengarang :