SELANGOR

Koperasi NEGM & KOHIJRAH tangguh program belanja durian

SHAH ALAM, 26 JUL: Karnival Foodtruck HIJRAH dan Kedai Serbaneka De’Variety Koperasi NEGM yang berlangsung sejak 14 hingga 28 Julai dirancang sebelum Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis.

Pengerusi Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (KOHIJRAH), Normaiza Yahya berkata, bagaimanapun Program Belanja Durian yang dijadual berlangsung pada hari terakhir karnival ditangguh sehingga berakhirnya PRK.

Katanya, ketetapan itu diambil ekoran ia bertentangan dengan peraturan pilihanraya dan menjamin ketelusan serta integriti HIJRAH.

“KOHIJRAH dan Koperasi Kakitangan NEGM Berhad mengambil maklum teguran Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) berkenaan Program Belanja Durian.

“Justeru, kami juga mengucapkan terima kasih atas teguran daripada BERSIH yang menyuarakan perkara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Normaiza berkata, Program Belanja Durian itu diadakan pada hari terakhir karnival yang berlangsung selama dua minggu itu.

“De’Variety Koperasi NEGM sebagai penaja utama mempromosi jualan peralatan dapur food truck, mobile cart serta sewaan rak.

“Atas kejayaan karnival yang berlangsung selama dua minggu itu, Koperasi NEGM berbesar hati menaja Program Belanja Durian,” katanya.

Dalam pada itu, Normaiza turut memaklumkan jemputan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Calon KEADILAN bagi PRK Sungai Kandis, Zawawi Mughni diadakan secara ad-hoc serta ia tidak mendapat sebarang pengesahan daripada pihak mereka.

Semalam, Pejabat Menteri Besar Selangor mengeluarkan kenyataan tidak mengetahui mengenai penganjuran festival durian berkenaan dan menafikan memberi kebenaran agar imej Menteri Besar digunakan.


Pengarang :