Hilman Idham
SELANGOR

ADN Gombak Setia selesai masalah lori hantu

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 2 JULAI: Masalah lori hantu yang membelenggu penduduk Gombak Setia sejak awal Mac lalu berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang sebulan, kata Ahli Dewan Negeri kawasan itu, Mohd Hilman Idham.

Beliau berkata, kemelut berkenaan berjaya ditangani menerusi komitmen dan gerak kerja pelbagai agensi serta pihak berkuasa negeri.

“Ada beberapa perkembangan positif dicapai dalam tempoh sebulan saya menjadi wakil rakyat di kawasan ini.

“Sepanjang tempoh ini, rakyat Gombak Setia sudah mendapat keselesaan lebih baik apabila tiada lagi lori hantu dibenarkan masuk ke kawasan utama penduduk.

“Ini kejayaan kita bersama dan pastinya gerak kerja berterusan akan dilaksanakan,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di Gombak, semalam.

Sebelum ini, SelangorKini mendedahkan rungutan penduduk Sri Gombak Fasa 9 yang mendakwa kemasukan lori hantu ke laluan utama Gombak Setia menimbulkan rasa kurang senang masyarakat tempatan.

Laporan berkenaan turut mendedahkan, satu kemalangan jiwa berlaku ekoran kecuaian pemandu lori hantu, di kawasan berkenaan.

Susulan insiden itu, jawatankuasa khas (task force) ditubuhkan dalam tempoh 24 jam bagi menanganinya.

Pada masa sama, Majlis Perbandaran Selayang turut diarah membuat kawalan serta merta melarang kemasukan lori khususnya, pada waktu puncak.


Pengarang :