GLOBALSUKANKINI

Croatia: Negara 4 juta penduduk namun kilang bakat sukan bertaraf dunia

ZAGREB, Croatia 14 JUL: Finalis Piala Dunia 2018, Croatia yang dijadual menentang Perancis, esok bukan saja dianugerahkan deretan bakat dalam bola sepak, malah pelbagai lagi jenis sukan sekali pun kekurangan sumber untuk negara yang dianggap kerdil.

Bintang-bintang bola sepak negara itu, termasuk pemain tengah Real Madrid, Luka Modric dan penyerang Juventus, Mario Mandzukic ketika ini bersedia untuk mengharungi perlawanan terbesar mereka di Moscow, Russia.

Menang atau kalah, kejayaan mara ke final sudah pun menjadi satu kegembiraan atau kisah dongeng buat negara di rantau Balkan itu.

Tetapi menariknya, negara yang memiliki penduduk kurang empat juta itu turut mempunyai deretan bintang dalam pelbagai sukan termasuk legenda tenis, Goran Ivanisevic, Marin Cilic dan juara dunia lompat jauh, Blanka Vlasic.

Drazen Petrovic yang terkorban dalam kemalangan kereta serta Toni Kukoc yang kedua-duanya bintang bola keranjang di Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan (NBA) turut membantu meningkatkan nama Croatia sebagai jaguh sukan dunia.

Bekas pemain bola sepak kebangsaan Croatia, Niko Kovac yang kini adalah jurulatih baharu kelab gergasi Jerman, Bayern Munich menyuarakan kebanggaannya ketika menyarung jersi merah dan putih berkenaan.

“Sukan ada dalam darah kami,” kata Kovac yang lahir di Berlin, Jerman kepada akhbar FAZ. “Croatia gemarkan persaingan dan membandingkan diri mereka dengan orang lain dan mahu menjadi yang terbaik.”

Kata Kovac, sukan dianggap sebagai pendapatan atau pasport untuk bekerja di luar negara ketika ekonomi Croatia sedang bergelut.

“Ia memberi contoh buat atlet muda dan kami sudah pun mempunyai ramai idola yang mereka boleh contohi,” katanya sambil mengesahkan kemudahan sukan di negaranya tidak setaraf Jerman tetapi sukan di sekolah masih lagi satu keutamaan.

Skuad bola baling kebangsaan Croatia adalah bekas juara dunia dan pemenang pingat emas Olimpik manakala di sukan polo air, mereka adalah juara dunia ketika ini.

Jurulatih polo air kebangsaan, Ivica Tucak berkata semangat patriotisme di kalangan generasi muda, terutama yang lahir pada 1991 ketika kemuncak perang menuntut kemerdekaan sebagai faktor motivasi.

“Tiada wang, kontrak, tajaan besar individu, tiada apa-apa. Apa yang ada hanyalah logo negara, kecintaan terhadap tanah air. Ia adalah fenomena,” kata Tucak.

Bekas pemain dan jurulatih bola baling, Slavko Goluza yang pernah memenangi dua pingat emas Olimpik ketika bergelar atlet menyifatkan ia adalah pergelutan untuk hidup.

“Kami bekerja dengan kemudahan sukan yang amat daif, tidak kira bola sepak atau bola baling. Kami jelas mempunyai semangat yang jitu, yang digabungkan dengan emosi yang kuat, ia mencipta perkara yang indah.”

Ramai pakar mengatakan kejayaan sukan di Croatia adalah daripada sukan berteraskan bola kerana ia murah untuk dilangsungkan tetapi mereka turut memiliki juara dunia dalam sukan lain seperti ski dan gimnastik.

SUMBER: AFP


Pengarang :