SELANGOR

HMFD: Tingkat waspada elak penularan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 27 JUL: Ibu bapa yang mempunyai anak dibawah umur enam tahun dinasihatkan supaya berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang kian meningkat mutakhir ini.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, setakat ini tiada sekolah atau pra-sekolah diarahkan tutup di Negeri Selangor sehingga 25 Julai 2018.

“Ada ibu bapa bertanya mengapa sekolah tidak ditutup walaupun angka besar direkodkan kerana ia berlaku di beberapa kawasan dan tidak tertumpu di satu tempat sahaja.

“Untuk makluman, arahan untuk menutup taska perlu dikeluarkan Pegawai Kesihatan Daerah (PKD).

“Untuk sekolah pula, guru besar atau pengetua boleh mengeluarkan arahan penutupan atas nasihat PKD. Setakat ini tiada kematian direkodkan,” katanya dalam satu sidang media, semalam.

Berdasarkan Kumulatif Minggu Epid 28, 8,601 kes direkodkan bagi kanak-kanak berumur 0-6 tahun, 568 kes untuk 7-12 tahun sementara 231 kes bagi berumur 13 hingga 15 tahun.

Katanya, walaupun corak wabak HFMD ini dilihat menurun di Selangor tetapi ia masih di paras berjaga-jaga sekitar bawah 300 kes seminggu.

“Ibu bapa dan pihak sekolah perlu mengutamakan aspek kebersihan kerana tanda-tanda penyakit ini dapat dikesan melalui demam, ruam di tapak tangan dan kaki serta ulser dalam mulut.

“Semua guru taska dan tadika perlu bertindak segera jika terdapat pelajar atau kanak-kanak yang mempunyai tanda menghidapi HFMD.

“Selain itu, ibu bapa perlu mengawasi anak-anak mereka dan mengelakkan sebarang aktiviti di tempat tumpuan ramai buat masa ini demi menjamin keselamatan mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Siti Mariah memaklumkan beliau tidak menerima sebarang makluman berhubung penutupan Pra-Sekolah Sekolah Kebangsaan Parit 6, Sungai Besar susulan penyebaran notis penutupan sekolah berkenaan di laman sosial.

 


Pengarang :