NASIONALSUKANKINI

Kementerian Pelajaran rakam penghargaan jayakan ASG 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 JUL: Kementerian Pelajaran merakamkan penghargaan kepada semua kontinjen dan atlet yang mempamerkan semangat kesukanan tinggi di sepanjang tempoh temasya Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Asean 2018 ke 10 (ASG) dilangsungkan di negara ini.

Timbalan Pengarah Pelajaran Malaysia, Aminuddin Adam berkata, ia bertepatan dengan tema, ‘Perpaduan Melaui Sukan’ (Unity Through Sports) dengan semua pihak berkaitan terutama atlet muda dari negara ASEAN mempamerkan semangat kesukanan dan kerjasama erat bagi menjayakan kejohanan itu.

“Sepanjang lapan hari lalu, kita menyaksikan semua pegawai dan atlet menyerlahkan semangat berpasukan, kepimpinan dan kesukanan di mana ASG sememangnya landasan memupuk penyatuan dalam kepelbagaian budaya masyarakat ASEAN.

“Terima kasih kepada Majlis Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASSC) dan semua anggota yang menyertai ASG ke 10 kali ini,” katanya dalam majlis perasmian penutup temasya itu yang dihadiri Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan hadirin lain di Ideal Convention Centre (IDCC) di sini, semalam.

Beliau berkata, Kementerian Pelajaran turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri, Jabatan Pelajaran Selangor dan semua pihak berkaitan dalam memastikan ASG ke 10 itu dijayakan dengan sempurna.

“Semua atlet dari sekolah ASEAN bersaing dalam 11 acara sukan dalam ASG 2018 ini dengan beberapa rekod dipecahkan dan menetapkan tahap baharu pada kejohanan kali ini.

“Saya berharap anda semua menikmati dan berpuas hati dengan layanan diterima di sepanjang berada di sini,” katanya.


Pengarang :