NASIONAL

Kerap diintip polis, Pengerusi MyWatch minta bantuan SUHAKAM

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 16 JULAI: Pengerusi Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), Dato’ Sri Sanjeevan bertemu Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) setelah mendakwa dirinya diintip secara rahsia oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, terbaru beliau diintip dua lelaki tidak dikenali ketika berada di rumahnya, pada 9 Julai lalu.

“Saya mendekati lelaki berkenaan dan pada awalnya kedua mereka tidak mahu memberikan kerjasama memperkenalkan diri, namun setelah disoal siasat pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan perumahan, barulah mereka mengaku sebagai anggota polis dari Bahagian Narkotik.

“Sebelum ini saya pernah ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), namun penahanan itu ditolak oleh majistret kerana tidak mematuhi syarat.

“Disebabkan itu, saya menggesa PDRM henti membuat intipan terhadap saya supaya keluarga saya bebas dan selamat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan memorandum berkenaan kes terbabit daripada Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) kepada SUHAKAM di pejabatnya, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SUARAM, Sevan Doraisamy berkata, pihaknya memandang serius isu terbabit dan menganggap hak kebebasan individu tidak boleh dicabuli, terutama pihak keselamatan yang sepatutnya menjaga keselamatan rakyat.

Katanya, Sanjeevan adalah pejuang hak asasi manusia yang sepatutnya dilindungi di bawah peruntukan undang-undang.

“Kami menganggap intimidasi dan gangguan itu mengancam keselamatan diri dan keluarganya, dengan ini kami meminta SUHAKAM untuk segera campur tangan dan menghentikan pencabulan hak asasi yang sedang berlaku terhadap Sanjeevan,” katanya.


Pengarang :