BERITA UTAMANASIONAL

Mohamad Ariff ikrar amanah laksana tugas tanpa pengaruh luar

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 JUL: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof berikrar melaksanakan tugas sebaik mungkin dan bebas dari pengaruh luar sepanjang mengendalikan persidangan Dewan Rakyat.

Ketika menyampaikan ucapan buat kali pertama selepas mengangkat sumpah beliau menyifatkan tanggungjawab itu cukup besar dan akan sedaya upaya memenuhi amanah itu.

“Sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baru dilantik, saya akan berusaha melaksanakan tugas dengan sepenuh hati dan bebas dari pengaruh luar untuk memelihara martabat dan maruah dewan yang mulia ini.

“Saya akan bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan yang berhormat sekalian berusaha ke arah meningkatkan lagi wibawa institusi Parlimen negara kita supaya budaya demokrasi berparlimen negara kita akan bertambah berkesan, adil dan saksama,” katanya.

Dalam ucapannya, beliau turut meminta semua Ahli Parlimen berbahas dengan matang berasaskan kejujuran dan tanggungjawab serta mengamalkan budaya menghormati ketika berdebat bagi memastikan matlamat tinggi Dewan Rakyat mampu dicapai.

“Persidangan Dewan Rakyat kali ini menempa sejarah kerana ia merupakan kali pertama sejak PRU-14 dengan peralihan kuasa yang berlaku dalam keadaan penuh aman.

“Malaysia menongkah arus politik global apabila warganegara bertindak terus memperkasakan dan mempercayai sistem demokrasi sebagai wadah perubahan serta menjadi inspirasi ramai serata dunia.

“Kini perhatian dunia tertumpu kepada Dewan Rakyat ini sebagai ruang untuk menguris kepelbagaian yang wujud di dalam negara kita dengan cara tertib dan mengekalkan keamanan,” katanya.

Mohamad Ariff Md Yusof yang juga bekas Hakim Mahkamah Rayuan secara rasmi dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini selepas mengangkat sumpah pada jam 10.15 pagi.

Pelantikan beliau dicadangkan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.


Pengarang :