SELANGOR

Perkasa program bandar dan desa selamat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 JUL: Program bandar dan desa selamat akan diperkasa bagi membendung kegiatan jenayah daripada berleluasa dan menghantui penduduk.

Calon N49 Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, terdapat 15 inisiatif yang akan dilaksanakan membabitkan reka bentuk persekitaran digital dan mewujudkan balai polis bergerak.

Selain itu, katanya, pengasingan laluan motorsikal dan laluan penjalan kaki, penyediaan penggera keselamatan, dan pemasangan kamera litar tertutup di premis perniagaan dan perumahan.

“Kita juga mahu menambah pencahayaan di kawasan perniagaan, perumahan atau laluan awam.

“Pengurusan dan penyertaan komuniti melalui pendidikan, pembabitan masyarakat dengan mengaktifkan rukun tetangga turut akan diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Bilik Gerakan Utama, di sini.

Sehubungan itu, Mohd Zawawi mahu semua pihak bekerjasama dalam merealisasikan langkah itu.

Katanya, mengharapkan kepada pihak polis semata-mata untuk menangani masalah itu bukan satu langkah berkesan jika tiada sokongan masyarakat keseluruhannya.

“Saya mahu memberi suntikan baru kepada masyarakat untuk bergabung tenaga menangani jenayah,” katanya.


Pengarang :