NASIONAL

KPKT henti pemberian AP sisa plastik serta merta

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 24 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menghentikan pemberian lesen import (AP) sisa plastik berkuatkuasa serta-merta untuk tempoh tiga bulan bermula semalam.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin dalam sidang media di Lobi Parlimen berkata, tindakan itu diambil susulan laporan akhbar berhubung pencemaran serius di Kuala Langat, Selangor yang didakwa berpunca dari kilang memproses plastik import secara haram.

“Permit pengeluaran lesen import (AP) sisa plastik HS Kod 3915 adalah melalui Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) di bawah KPKT.

“Kriteria ketat dikenakan JPSPN untuk kelulusan AP sisa plastik, yang mana pengimport perlu mendapatkan surat kelulusan pematuhan kilang daripada Jabatan Alam Sekitar, mempunyai lesen premis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mendapat pengesyoran kelulusan pemeriksaan kilang Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan bukti bergambar bahawa sisa yang diimport adalah bersifat homogeneous, bersih dan bukan dalam kategori bahan terjadual,” katanya.

Antara syarat lain dikenakan JPSPN adalah untuk semua pembekal sisa plastik mempunyai persijilan ISO14000 yang mengamalkan sistem pengurusan alam sekitar yang efektif dan bertanggungjawab.

Selain itu, sisa plastik dibawa masuk hendaklah diproses sepenuhnya kilang pengimport yang memiliki AP dan wajib mematuhi Akta Kualiti Alam Sekililing 1974 seperti Peraturan (Udara Bersih) 2014 dan (Efluen Perindustrian) 2009 serta mana-mana peraturan ditetapkan PBT.

Zuraida berkata, JPSPN akan menubuhkan satu pasukan petugas yang dipengerusikan Ketua Pengarah JPSPN bagi mengkaji semula prosedur dan polisi semasa, pengimportan sisa plastik Kod Tarif 3915.

Keanggotaan pasukan petugas ini adalah terdiri daripada Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Antarabangsa Dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Beliau berkata, penyertaan Jabatan Kastam Diraja bagi melakukan penyelarasan kriteria sisa plastik yang dihasilkan supaya mengikut piawaian antarabangsa selain mengarahkan PBT seluruh negara melakukan pemeriksaan.

Secara keseluruhan jumlah syarikat yang mempunyai lesen import (AP) sisa plastik HS Kod 3915 adalah sebanyak 114 syarikat dengan Negeri Selangor mempunyai jumlah kilang tertinggi sebanyak 36 kilang.

“Terdapat syarikat yang mempunyai AP tetapi menggunakan kilang lain yang tidak berdaftar dengan KPKT untuk menjalankan operasi.

“Kita minta syarikat pengimport untuk mendaftarkan semula dengan menyenaraikan kilang itu mengikut kriteria ditetapkan KPKT dalam tempoh tiga bulan ini,” katanya.

 

 


Pengarang :